29 Julai, 2009

Labu Bin Labi



SINGAPURA

'Pusara Labu bin Labi' di Kampung Melayu

Oleh
Karim Iskandar

MUNGKIN ramai tidak menyedari adanya sebuah 'pusara' di Kampung Melayu Geylang Serai.

'Pusara Abadi di Kampung Melayu? Tak mungkin...' kata seorang penduduk.

'Memang ada,' kata Encik Nordin Abdullah, 58 tahun, yang sering minum kopi di kedai Kah Wee tidak jauh dari 'pusara' itu.

'Pertama kali terserempak dengan benda itu, saya amat terperanjat,' katanya.

'Tetapi apabila saya baca nama pada nisan itu, 'Labu bin Labi kembali ke rahmatullah pada 01.01.1961, semoga dicucuri rahmat ke atas rohnya', lengkap dengan nombor telefon Takdir Pengurusan Jenazah Pte Ltd, barulah saya lega, rupa-rupanya iklan khidmat urus jenazah.'

Menurut pengurus Takdir Pengurusan Jenazah Pte Ltd, Encik Mohd Fauzi Abdul Kadir, 59 tahun, 'pusara' yang berada di sebelah bawah rumah panggung yang juga pejabatnya di Kampung Melayu Geylang Serai itu merupakan satu gimik promosi bagi syarikatnya.

'Ia sudah dipasang lebih kurang setahun lalu,' katanya.

Teks pada nama 'Labu bin Labi' pula diambil daripada filem Labu dan Labi, karya Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

Ia tidak ada kena-mengena dengan yang sudah mati ataupun yang masih hidup, katanya.

Tetapi, bagi pejalan kaki seperti Encik Nordin, yang pertama kali terserempak dengan 'pusara' di situ, sudah pasti terperanjat lebih-lebih lagi di waktu malam.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Titipan Kehidupan Copyright © 2009/2010 Titipan Kehidupan Art Template by Hai..Cute's Blogger Template