07 Julai, 2009

Kisah Michael Jackson Semakin Rumit


Dilabel pelik semasa hidup, kisah peribadi Michael Jackson semakin bercelaru selepas kematiannya apabila timbul persoalan tentang siapa bapa kandung kepada tiga anaknya selain laporan berhubung rancangan upacara besar-besaran bagi memperingati Raja Pop itu kelmarin.

Laman web selebriti TMZ.com melaporkan bahawa tiga anaknya iaitu Prince Michael Junior, Paris Michael Katherine dan Prince Michael Jackson II yang masing-masing berusia 12, 11 dan 7 tahun bukan zuriat Michael.

Bekas isteri Michael, Debbie Rowe pula didakwa bukan ibu kandung kepada dua anak mereka yang paling tua.

Bagaimanapun, seorang peguam Rowe memberitahu majalah hiburan E! News bahawa anak guamnya ialah ibu kandung dua kanak-kanak itu.

“Kontroversi akan berkembang menjadi semakin rumit dan besar pada tahun depan,” kata ketua pengarang TMZ, Harvey Levin kelmarin.

Pada hari yang sama, majalah selebriti US Weekly mendakwa bapa kandung Michael Jr dan Paris ialah pakar kulit yang pernah merawat penyanyi itu, Dr. Arnold Klein.

Identiti ibu tumpang kepada anak bongsu Michael, Prince Michael II, pula tidak pernah didedahkan.

Peguam Klein mengeluarkan satu kenyataan pada hari yang sama tetapi tidak mengesah atau menolak laporan US Weekly tersebut.

Tidak cukup dengan kontroversi itu, timbul pula dokumen yang didakwa wasiat Michael yang ditulis pada 2002 dan salinannya diserah kepada seorang peguam keluarga Michael.

Ia menamakan ibu Michael, Katherine sebagai penjaga tiga anaknya manakala asetnya diletakkan dalam satu tabung amanah dan diuruskan oleh penguamnya, John Branca dan eksekutif muzik, John McClain.

Wasiat itu menjadi misteri kerana ia belum pernah difailkan ke mahkamah.

Raja Pop itu turut dilaporkan mengenepikan bapanya, Joe Jackson daripada wasiat kerana mendakwa lelaki tersebut sebagai menderanya ketika zaman kanak-kanak.

Setakat ini, ibu Michael diberi hak penjagaan sementara ke atas tiga anaknya dan aset penyanyi berkenaan, sementara menunggu perbicaraan pada 6 Julai depan.

Sementara itu, beberapa laporan menyatakan jenazah Michael akan dibawa ke kediamannya di Neverland Ranch dekat Santa Barbara di California Tengah hari ini.

Ia dilakukan sebelum jenazah penyanyi lagu Beat It itu dipertonton kepada orang ramai dalam satu upacara besar-besaran pada hujung minggu ini.

Punca kematian Raja Pop yang meninggal dunia pada Khamis lalu pula hanya akan diketahui selewat-lewatnya enam minggu lagi setelah ujian keracunan diumumkan.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Titipan Kehidupan Copyright © 2009/2010 Titipan Kehidupan Art Template by Hai..Cute's Blogger Template