Sungguh saya sudah bosan dengan taktik permainan perniagaan semacam ini. Di dada akhbar pihak berkuasa dengan penuh yakin mengatakan bekalan gula mencukupi untuk keperluan setiap pengguna, dan sesiapa yang didapati menyorok gula akan dikenakan tindakan tegas. Dan gambar dan paparan berguni-guni gula ditunjukkan kepada umum bahawa bekalan guna sebenarnya masih banyak. Tapi praktikalnya bila pengguna pergi ke kedai memang sebenarnya gula sudah kehabisan.
Dan itulah yang berlaku kepada saya pagi ini, sudah 4 kedai runcit (3 kedai mamak dan 1 kedai Melayu) saya pergi untuk membeli gula dan semua kedai tersebut mengatakan bekalan gula sudah habis. Cuma kedai kelima (kedai mamak jugak) ada bekalan gula, itupun tidak dipamerkan dan saya hanya boleh membeli sebanyak 1 kilo sahaja, tu pun harga sudah menjadi RM1.50 sedangkan harga sepatutnya adalah RM1.45.
Di mana sebenarnya punca ‘kehilangan’ bekalan gula di pasaran kita, pihak pengeluar dan pengilang mengatakan mereka sudah mengeluarkan bekalan secukupnya dan mungkin melebihi kadar biasa, pemborong dan pembekal pula bagaimana, kemana mereka bekalkan gula-gula tersebut? dan mengapa pula peniaga mengatakan mereka tidak mendapat bekalan gula?..dan saya tidak perlu menjadi saintis roket untuk mengetahui adanya unsur ‘permainan’ sorong papan tarik papan dalam isu ini.
Apa yang pengguna boleh lakukan bila dalam keadaan terdesak? Mungkin juga pihak berkuasa yang terlibat merancang sesuatu bagi memastikan isu seperti ini tidak menjadi rutin setiap musim perayaan di negara kita ini, lebih-lebih lagi dengan slogan 1Malaysia yang secara khusus fokusnya memberi keutamaan kepada keperluan rakyat. Undang-undang dan peraturan memang sudah sedia ada, cuma pelaksanaan dan penguatkuasaannya yang perlu dipergiatkan. Atau patutkah pihak berkuasa terlibat dengah kerjasama PBT melakukan ’spot check’ di semua kedai pemborong dan kedai runcit di seluruh kawasan masing-masing. Dan wajarkah juga sesiapa yang ditangkap menyorok bekalan gula disiarkan di dada akhbar supaya menjadi pengajaran kepada pihak yang mempunyai niat yang sama.
Ataupun mungkin pihak Kerajaan boleh ambil langkah drastik dengan menjualnya sendiri melalui Jabatan/Agensi kerajaan sahaja, tidak perlu lagi peranan pemborong, pembekal atau pekedai runcit. ataupun letakkan di setiap pejabat daerah dan balai ketua kampung…..
0 ulasan:
Catat Ulasan